Tuesday, February 09, 2010

N : Krono J-19




Setelah sekian lama aku mengelak dari masuk ke ibu kota yang sangat sesak, akhirnya aku menjejakkan kaki jua pada suatu malam, pulak tu hari bekerja. Mengikut standard, memang payahlah atau dengan lebih afdalnya, aku akan mengelak untuk mengadakan temujanji di waktu malam dalam minggu bekerja. Aku lebih senang kalau ianya adalah pada hari minggu atau hari cuti umum. Tapi kalau dah agak lama tak merasa bagaimana "nikmat"nya memandu dalam kesesakan jalanraya, pada aku, kalau boleh elak, baik lupakan saja segala temujanji itu.

Sehari sebelum itu, kawan aku seorang ni menelefon aku, katanya ada orang ajak jumpa. Diringkaskan, kawan aku ni adalah kawan sekolah, lebih tepat lagi, kawan sekelas, malah kawan duduk satu asrama, katil setentang aku. Hampir dekat tapi tetap jauh. Err, macam tu ke terjemahan kepada "so close yet so far". Apa-apa je lah, takkan aku nak ikut standard terjemahan macam orang lain. Berbalik kepada tadi, dia bagitau ada seorang ni telefon nak jumpa dia. Kawan sekolah juga tapi perempuan. Aku dengar je nama tu, aku dah gelak-gelak. Dia tanya, apsal gelak. Aku cakap aku tak nak pergi, sebab aku ada terbaca kat wall facebook berkenaan dia tu (perempuan tadi) nak melantik ajk untuk reunion yang dijangka sekitar pertengahan tahun ni. Pandai je aku nak melarikan diri kan. Tapi yang perempuan tu pun nak mencari sesiapa yang tinggal sekitar KL, so memang aku terkecuali pun. Beria dia ajak aku, kononnya untuk temankan aje. Lagilah aku gelak. Macam zaman sekolah la pulak nak kena berteman-teman ni. Aku menolak untuk turut serta. Jauh pun satu hal, hari bekerja lagi, kesesakan jalanraya lagi. Banyaknya halangan. Perbualan di telefon berakhir di situ. Selepas habis bercakap di telefon, baru aku teringat sesuatu, kemudian aku mesej dia bagitau, kalau jadi inform je la aku, sebab hari yang dijangkakan tu, aku bercuti pun.

Aku amik cuti pada hari tersebut sebab ada temujanji dengan doktor pada waktu siangnya. Ntah bila lah nak abis apa yang aku alami kebelakangan ni. Ingatkan kali ni settle, tapi bila doktor ajak diskusi balik setiap item yang ada tu, ada satu lagi yang aku cukup risau sekarang ni. Ubat ditambah satu jenis lagi dan yang lama digandakan dua kali. Hujung bulan dua, kena jumpa lagi dan kena puasa dulu malam tu. Harapnya keesokkan pagi tarikh tu, aku tak tersarapan la, biar sampai je sana, terus buat apa yang sepatutnya. Errr, aku bukan nak cerita pasal ni. Titik noktah!!

Malam tu, aku memandu ke satu destinasi. Lemah betul aku kalau lokasinya ialah hotel-hotel besar nih. Parking bukannya murah. Yang mengajak tu, tak kisah la, sebab ada pemandu sendiri. Tapi bila dah sampai, aku fikir mungkin berbaloi kut aku datang dari jauh nih. Ya la, kawan-kawan lama zaman sekolah yang aku tak pernah tau di mana mereka, tiba-tiba ajak jumpa. Berapa lama dah aku tinggalkan sekolah tu?

Masa sampai, bertemu aku di tempat letak kereta dengan dua orang kawan aku. Yang menariknya, keduanya satu kelas dengan aku dulu. Terus kami ke lobi menunggu yang lainnya. Bila kawan aku yang telefon sebelum ni yang ajak berjumpa tiba, aku rasa.. tak terkata. Kesemuanya dari kelas yang sama. Kami terus meluru ke satu meja, order minum, makan... dan berborak. Banyak kisah lama di sekolah dan asrama dibualkan, sungguh nostalgia. Banyak juga peristiwa yang berlaku di asrama dulu yang aku tak tau detail, kenapa macam ni, macam tu, terbongkar malam tu. Kami gelak dan gelak. Macam ruang makan kat hotel tu hanya ada kite orang je. Masing-masing bercerita berkenaan kawan-kawan lain yang pernah kami jumpa sebelum ini, tapi dah terputus hubungan, ada juga yang dah lama tak berhubung. Dalam bercerita, tentunya menyentuh jua dengan kawan perempuan yang sekelas dengan kami, yang tidak diketahui ke mana mereka ini. Aku dah cari mereka ini melalui internet, tapi hampa. Owhh, sesungguhnya sekolah aku ni tak ramai perempuan, dan kelas aku paling sedikit. Hanya dua orang sahaja. Agak mengecewakan, walaupun dua orang sahaja, tapi takde siapa tahu di mana mereka berdua tu. Salah seorang tu pernah berhubungan dengan aku melalui surat, masa tu dia belajar di itm. Zaman tu mana ada email segala. Tapi tak lama selepas itu, senyap terus tanpa berita. Masing-masing sibuk dengan belajar dan tak tau nak menulis kisah apa waktu tu.

Sedang rancak berbual, tiba lagi dua orang kawan sekolah tapi mereka dari kelas sebelah. Orang yang memanggil untuk berjumpa malam tu, tak kunjung tiba, dan akhirnya dapat tau, tak jadi datang. Lagi seronok jika berbual dengan rakan-rakan lelaki sahaja, perbualan tanpa sempadan. Bila dah abis makan tu, kawan aku seorang ni yang baru tiba tu.. baru perasan, rupanya di ruang makan itu, ada seorang lagi kawan sekolah ada berkunjung ke situ tapi datang dengan kawan-kawan sepejabatnya. Walaupun dia juga dari kelas lain, tapi sekali dalam pasukan beruniform. Kiranya malam tu, berjumpa dengan dia tanpa dirancang. Siapa sangka. Segalanya ketentuan Ilahi.

Maka, sejak malam tersebut, bermulalah perancangan untuk mencari kawan-kawan sekolah yang lainnya. Aku punya misi tersendiri, kalau boleh nak melengkapkan rakan sekelas terlebih dahulu sebelum kedatangan reunion yang tinggal beberapa bulan aje lagi. Bolehkah aku?

saat ini : beberapa hari selepas itu, aku dah jumpa salah seorang darinya...