Thursday, November 10, 2005

N : Apa Ertinya



Bagaikan tiada erti mesej dan pesanan dalam post yang lalu. Seelok dan seberhati mana pun tika memandu pulang ke kampung halaman menjelang Aidilfitri, andai pemandu lainnya tidak mengendahkan keselamatan pihak lain, mangsa tidak dapat diduga.

Pada Ramadhan yang lalu, beberapa hari sebelum tibanya Syawal, selepas sahaja masuk waktu berbuka, hp aku berbunyi kerana menerima sms. Kerana inilah hari pertama aku berbuka di kampung setelah sekian sebelum itu berpuasa dan berbuka di hutan batu, melihat nama yang tertera di skrin hp, aku menangguhkannya terlebih dulu. Aku teruskan suapan. Terdetik di hati "ah, mesti kawan aku sorang ni sms nak ucap Selamat Hari Raya". Jimat kos la tu.
Namun sebelum solat Maghrib tertunai, aku semak sms yang aku terima sebelum itu. Mesejnya membuatkan aku kaku seketika. SMS memberitahu bahwa salah seorang rakanku, SJ mengalami kemalangan di Kuala Lipis dan dikhuatiri telah meninggal dunia di tempat kejadian sewaktu beliau sedang memandu menghala ke kampung halaman. Otak aku dengan pantas flashback segala memori antara aku dengan dia. Cuba mengingatkan bila kali terakhir aku berjumpa beliau. Berborak dengan beliau atau jua aku ada buat salah silap terhadap beliau. Namun aku gagal untuk mengingati dengan tepat. Agak lama juga aku tak berjumpa dengan beliau. Sebelum Ramadhan lagi.

Aku mengenali SJ kerana sama tempat kerja, sesungguhnya dia agak pendiam dan low profile (pada aku la), namun hubungan tambah erat kerana bowling. Kami masuk liga yang sama, tapi team lain-lain. Aku tak tau dia pun masuk liga tersebut, sementelah dia jua tidak tahu tentang aku. Kerana itu, kami dalam team yang berlainan. Pernah diusulkan untuk berganding bersama dalam satu team untuk liga akan datang di tahun 2006, namun kini hanya tinggal kenangan.
Di pagi Isnin, dalam waktu besahur, aku sms seorang lagi rakanku R juga merupakan boss SJ, bertanyakan alamat kampung SJ. Selepas Subuh aku memandu menuju ke Kelantan, namun dalam jam 8 lebih tika aku dah sampai Machang, aku terima sms dari R mengatakan jam 9 pagi, pihak hospital nak buat post-mortem, jangkaan jam 11 baru bertolak dari sana. Aku punya masa 4 jam lebih kurang sebelum jenazah tiba. Aku menghala ke Rantau Panjang.
Seelok aku tiba di Rantau Panjang jam 10 pagi, terima sms menyatakan jenazah telah di bawa keluar dari hospital dan menuju ke kampung SJ. Aku ronda-ronda tanpa beli apa-apa di sana. Jam 11:30 aku bertolak menuju ke rumah keluarga SJ di Kuala Krai. Jalan amat sesak. Ada berlaku kemalangan membabitkan 3 buat kereta jalan dari Tanah Merah ke Machang.

Sebaik tiba di rumah itu dalam tak sampai 20 minit, jenazah SJ tiba. Kelihatan seorang wanita kepiluan sekali, tiba bersama van jenazah hospital. Terdetik di hati aku, siapakan gerangan wanita ini?. Sekali lagi aku agak terperanjat, malah rasa hiba dan simpati namun ku gagahi jua menahan emosi. Di rumah itu, aku baru dapat tau SJ dah bertunang dan majlis akad nikah dijadualkan pada 12hb November ini. SJ pergi 2 minggu sebelum tibanya hari tersebut. Sesungguhnya tak ramai yang tau SJ akan melangsungkan perkahwinan November ini, malah aku sendiri tidak tau beliau dah bertunang atau aku yang tak ambik tau hal orang lain.
Dalam jam 3 lebih aku mohon diri, walaupun mengikut pihak keluarga, jenazah akan dikebumikan selepas solat Asar. Memandangkan perjalanan untuk aku pulang ke rumah masih jauh yang memakan masa dalam 3 jam. Aku terpaksa undur diri tapi aku terasa amat bersalah sangat waktu itu kerana pulang awal. Aku risaukan perjalanan jalan kampung yang gelap. Apatah lagi tuan punya lembu gemar membiarkan ternakan mereka berkeliaran hingga ke jalan raya. Sesungguhnya 3 hari sebelum itu, kereta pakcik aku terpaksa masuk bengkel kerana lembu. Mujur juga dia bawak tak laju waktu itu. Dan jalan itu yang bakal aku lalui dari Kelantan.

Mengikut laporan dari pihak polis Kuala Lipis, kereta dari arah bertentangan telah tersasar dan berpusing lalu melanggar kenderaan yang dibawa oleh SJ. Ianya berlaku kat selekoh, dan sebaik pelanggaran itu berlaku, datang pula kereta dari arah belakang dan melanggar sekali lagi kereta yang dipandu SJ. Kemalangan berlaku dalam jam 3 lebih camtu. Kiranya waktu yang sama aku dalam perjalanan pulang ke kampung.

Semoga roh SJ dicucuri rahmatNya. Al Fatihah.



No comments: