Tuesday, October 07, 2008


N : Krono S-1




Lupakan Krono J buat sementara, aku menjerumuskan diri masuk ke Krono S. Untuk kesekian kalinya aku memberanikan diri meninjau fasa baru tanpa perlu merujuk standard R-Mode. Standard? Bagaimana dengan Idulfitri tempoh hari? Ada beberapa perkara yang mengujakan aku. Jika tidak, mana mungkin aku langkau protokol Krono ini. Ringkasan adalah seperti...

Perjalanan malam itu, menuju ke kampung, jalan raya tidaklah sesibuk sebagaimana dilaporkan. Mungkin jua jadual perjalanan aku tidak standard sebagaimana orang lain, maka aku tidak menempuh kesesakan yang diberitakan. Setiap tahun, itulah jadual aku.. tidak menerjah waktu sebagaimana dia,dia dan dia serta mereka yang lain. Namun, malam itu melalui satu daerah itu, hujan turun dengan amat lebatnya, angin bertiup kencang. Boleh saja aku katakan ianya bagaikan ribut?

Malam keesokkan harinya setelah aku berada di kampung, menonton berita di tv membuatkan aku terpaku dengan laporan tentang beberapa tempat yang aku lalui, telah merosakkan beberapa kenderaan dan banyak rumah-rumah di kawasan itu telah tercabut bumbung rumah mereka gara-gara ribut malam itu.

Di malam terakhir Ramadhan, menjelang Syawal keesokkannya, aku lenguh membalas sms ucapan raya yang tiba dan tak kurang juga berkait dengan pertanyaan siapakah orang yang menghantar itu kerana..rujuk Krono J-9. Tapi, banyak juga aku tak terbalas kerana dah tak larat, badan dah mula menunjukkan tanda-tanda bateri dah berkelip-kelip mohon dicaj. Hari Raya aku demam selsema, yay! Pekena panadol extend, panadol activefast dan segalanya..makan ubat selsema, uiks terus tidor. Grrr.

Ada 2 perkara yang aku perlu catatkan di sini, agar dapat aku rujuk kembali di masa akan datang. Pertamanya berkenaan laporan di akhbar yang aku baca tempoh hari, dalam masa beberapa hari ini... tak ingat plak tarikh sebenar. Masa aku belek suratkhabar itu, aku melihat gambar seseorang yang aku pernah tengok, tapi aku kurang pasti di mana. Tentang dia yang telah pergi menjelang raya kali ini. Memandangkan aku tak boleh nak ingat di mana aku pernah berjumpa dengan orang yang dilaporkan dalam akhbar itu, maka aku pun tak de lah fokus dengan apa yang aku baca.

Namun, hari ni, aku baru teringkat siapakah orangnya itu, di mana aku pernah berjumpa dengannya. Rupa-rupanya aku pernah berjumpa dia banyak kali sebelum tahun ini. Kali terakhir yang aku ingat ialah masa aku lepak dengan pakcik aku (lepak dengan pakcik?) hujung tahun lepas. Sebenarnya hari tu aku bosan tak ada apa nak buat, call pakcik aku, jumpa dia kat site yang dia tengah bekerja sekitar KL.. aku ajak minum dan kami makan roti nan berkeju. Orang dalam laporan tu adalah kawan pakcik aku, dia ada sekali berborak dan makan bersama malam itu. Aku masih belum dapat gambaran sebenar apa yang dah berlaku, tapi jika takde aral, mungkin aku akan contact pakcik aku dan bertanyakan kisah ini. Al-fatihah buat beliau.

Kisah ke dua pula lebih menarik perhatian aku, memang aku kena catatkan jua di sini. Nanti akan datang, mungkin aku akan baca kembali kisah ni. Aku ke rumah makcik aku pada raya ke 4 setelah agak sembuh sedikit tapi suara memang dah takde time ni huhuhu. Sampai di sana, setelah salam-salam dengan kazen aku semua, kami berborak kat dapur sebab kat ruang tamu tu dah ada tetamu pun masa aku sampai. Aku tanya seorang kazen aku, mana abang dia? Raya ke mana? Dia jawab..raya atas kapal? On the way balik. Aku pelik dengan jawapan tu.. maka aku mintaklah penjelasan yang lebih dari dia. Rupanya selama aku baca kat akhbar, tengok berita kat tv dan baca segala teori dan andaian di internet, kazen aku tu ada kat Somalia... dan dalam perjalanan balik ke Malaysia..alah,kisah pasal kapal Melati dan lanun tu lerr. Tak sangka plak aku dia terlibat secara langsung.. err ke dipanggil tak langsung? Mana-mana lah kan. Berpuasa dan beraya atas kapal la dia tahun nih. By the time aku letak kat blog kisah ni, dia dah selamat jejak Malaysia kut.. alhamdulillah. Nak lebih, baca suratkhbar la. Tapi nanti kalau terjumpa kazen aku tu, mungkin nak juga aku tau versi dari dia plak camna.

Ya, aku faham, laporan kat blog kali ni macam takde perasaan je kan walaupun ianya bercampur aduk.. samada menyedihkan, mencemaskan, mengembirakan, mengerikan atau menakutkan..yang afdalnya lebih kepada membosankan aje huhu. Dah nama pun ringkasan seperti diberitahu kat atas tadi.

Friday, September 26, 2008


N : Krono J-9




Syawal bakal menjelang, Ramadhan dah nak tiba penghujungnya. 10 hari Ramadhan terakhir telah dipesan agar kita terus mengejar dan merebut dengan amalan, namun standardnya pada 10 hari terakhir jua lah terutama di bandar besar yang sibuk dengan penghuni kota, dapat dilihat mereka berebut dan berkejar sana sini cuba melengkapi apa saja yang dirasai masih terkurang dalam persiapan Syawal yang bakal tiba atau perkataan popularnya ialah Hari Raya. Tak dapat sambut Raya ke kalau masih ada yang terkurang ?

Jika ditanya atau tidak ditanya pun, ramai akan menggunakan ayat standard bahwa mereka hanya membuat persiapan ala kadar atau hanya secara sederhana. Ada ke orang guna perkataan dia buat persiapan raya secara amat mewah? Memandangkan tu ayat tak standard, jadi orang tak gunalah kut.

Tapi, benarkah sederhana itu standard sederhananya? Confirm ke? Jika berkumpul satu kumpulan yang declare mereka membuat persiapan secara sederhana, adakah pasti ianya standard yang sama atau masih jauh antara satu sama lain? Terfikir atau tidak...sederhana orang ni mungkin mewah pada orang itu atau sangat mewah pada orang di sana nun? Aku plak macam mana ye? Sederhanakah aku atau masih dibawah par? Tahun ni aku rasa agak pelik sikitlah (siiiikit aje tau) perjalanan persiapan yang aku harungi. Mungkin jua aku masih gagal dalam memahami persoalan standard yang ada atau aku memang sengaja melarikan diri dari standard yang ada. Ntah ler, aku pun tak berapa pasti? Yang aku pasti segala kuih raya, aku tak order dan belum beli di mana-mana lagi dan apatah lagi untuk terlibat dalam membuatnya.

Kad raya tahun ni pun ,hanya satu je aku gunakan khimat pos Malaysia. Yang lainnya terikut standard macam orang lain gak, melalui email atau sms. Kalau ikutkan, kad raya masih banyak terbengkalai, tapi alasan standard versi 1 beta yang aku nak bagi ni ialah, aku baru pindah opis, segala bisnes kad yang ada kat aku, ntah ke mana perginya, yang kebanyakkan ada ni hanyalah kad vendor dan kontraktor. Kalau aku bagi dorang, takut fikir lain lak hahaha. oh ya, handphone aku pun dah bertukar lagi buat kesekian kalinya. Aku dah tak guna PDA macam dulu tu. Dan yang tu aku dah format balik ke factory format tanpa aku terfikir masa tu, segala no phone bukan hanya save kat sim kad saja tapi kat memory PDA tersebut. Tapi dah terformat, apakan daya la kan. Bila terima sms, jenuh plak aku fikir sapa yang menghantarnya, yang berkesudahan aku tak reply. Errr.

Bila difikir sejenak, pulang beraya di kampung selain berjumpa sanak saudara, apakah yang paling menarik perhatian yang tidak boleh ditolak kenapa ramainya nak beraya di kampung? Mungkin itu alasan standard dia, dia dan dia dan mereka itu, tapi pada aku, sebab nak terkeluar dari jawapan standard yang ada, aku fikir, berjumpa rakan-rakan lama, kawan zaman sekolah, teman sepermainan di kampung menjadi asas kuat kenapa beraya di kampung suasananya lebih terasa berbanding di mana tempat kita mencari rezeki. Untuk berjumpa sanak saudara di kampung, tidak perlu tunggu raya..terkadang masa kenduri sanak saudara pun boleh berkumpul berjumpa, tapi rakan-rakan yang sesama berhijrah mencari rezeki di tempat lain, hanya hari raya sajalah peluang yang ada. Mereka yang sekolah berasrama tiada peluang sehebat ini. Aku pun bernasib baik tak masuk asrama masa form 1.. sebab tu rakan-rakan sekolah masa form 4, form 5 .. aku tak tau di mana mereka sekarang ni. Masing-masing datang dari negeri yang berlainan, maka jangan haraplah dapat berjumpa terutama di bulan Syawal ini.

Kesimpulannya, aku masih jua terperangkap dalam arus standard dalam mengharungi kehidupan seharian, namun aku cuba mengelak sedikit sebanyak andai aku mampu. Berhati di jalan raya, jangan sampai kena saman, rege petrol masih jauh tingginya, tol masih camtu gak, tak berbaloi kalau ditambah dengan duit saman, baik derma kat aku je kalau duit dah terlebih sangat huhuhu.
Salam Syawal, Maaf Zahir dan Batin.

Tuesday, September 16, 2008


N : Krono J-8




Jika ditanya hari ini berapa haribulan Ramadhan? Aku pasti ramai yang dapat menjawabnya. Agak standard jangkaannya. Kenapa ye?

Apa yang bermain di fikiran aku, adakah sama standardnya macam fikiran dia,dia dan dia juga mereka itu? Pastinya, hanya bulan Ramadhan ajelah yang kita tau sangat-sangat berapa haribulannya. Cuba tanya masa bulan Jamadilawal kat kawan-kawan masa tu, apa reaksi mereka agaknya?

Makanya, sungguh standard dalam arus yang dah amat standard ini, dalam mengharungi kehidupan standard sehari-hari sepanjang tahun, kita hanya perihatin di bulan ini? Hanya sebulan dari dua belas bulan? Sadisnya. Aku hanya cakap sebulan dan ianya hanya untuk Ramadhan sebab aku pasti kalau masuk Syawal pun, lepas seminggu... ramai yang berfikiran standard, yang menjalani kehidupan standard tadi.. dah tak ikut lagi berapa haribulan Syawal lepas tu. Itu yang kita boleh lihat masih ada yang buat open house Raya walaupun Syawal dah abis. Lamanya beraya dorang ni... huhuhu.

Oh, itu kalau yang berfikiran standard, yang masih menjalani kehidupan standard, yang agak standard perihatinnya berkenaan bulan Ramadhan. Bagaimana pula yang jika ditanya masih teragak-agak berapa haribulan Ramadhan hari ini? Erkk...

Persoalan ni timbul dan timbul lagi setiap kali Ramadhan muncul. Bila lagi aku nak keluar dari arus standard ini? Terfikir aku jika hanya Ramadhan sahajalah yang aku terperihatin berbanding bulan-bulan yang lain.. makanya amalanku jua ala-ala standard je.. atau masih jauh dari aras standard? :(


Thursday, September 11, 2008


N : Krono J-7




Aku bayangkan, andai tidak berada di millenium ini. Oh lama dah terlupa perkataan millenium. Dulu kelam kabut dunia bila kita nak jejak tahun 2000. Macam-macam teori timbul, terutamanya yang berkaitan dengan komputer. Tapi itu semua telah berlalu. Pantas sungguh masa berlari.

Macam mana aku boleh terperangkap di zaman ini. Zaman kejar mengejar dalam segala hal. Aku terikut atau terpaksa ikut atau dipaksa ikut atau tak sengaja mengikut? Akhirnya memerangkap diri aku sendiri... ye ke? Mungkin la kut. Bukan aku je, dia, dia dan dia,juga mereka pun sama je. Tak boleh lari dari kehidupan standard ini. Arus terlalu deras untuk berlawan arah. Kudrat tak setakat mana nak berenang menentang arus. Aku bukannya Michael Phelps huhuhu.

Manusia zaman ini, mengikut arus yang ada. Nak kehidupan yang lebih baik, perlu bekerja. Mana boleh dapat kehidupan yang lebih baik tanpa kerja. Lainlah warisan harta ayahbonda turun termurun. Selainnya, kena ada titik mula mencari rezeki. Dah kerja, kerana terikat dengan arus yang ada, maka beli kereta, beli rumah tapi bukan tunai sekaligus. Setidaknya aku dan mereka yang berkehidupan standard macam aku. Tapi yang beli tunai pun, aku pasti dia beli yang bukan pertama kalinya. Mesti kerja dah bertahun. Maka, mereka ni juga menjalani kehidupan standard tapi berjaya ditahap yang lebih baik dari yang lainnya. Adakah aku bakal tersenarai? Rasanya mungkin tidak. Arghhh.

Dah tu, kalau bukan zaman ni, zaman mana ek?

Kalaulah aku berada di zaman 1800 ke, 1700 ke, 1600 ke atau sebelumnya, pastinya segala arus kejar mengejar ni takde dalam kamus hidup aku. Kereta? apa tu? Nak rumah, buat sendiri. Nak tanah besar mana, isytihar je seluas mana yang nak, dengan syarat buat pagar jadikan sempadan. Kena buat sendiri la kan. Duit pun bukan keutamaan masa tu. Janji ada makan pakai. Tak perlu fikir aku nak kerja company mana. Mungkin selepas tu, pergi merantau pelusuk dunia. Nak jalan kaki tak larat la kut hahaha, buat kapal besar, berlayar merentasi gelombang lautan. Ni kalau "kalau".

Silap-silap aku jadi salah seorang pelayar masa tu. Jejak je mana-mana pulau, terus isytihar letak nama aku akekeke. Kalau nasib baik dapat jumpa dulu tanah besar macam US, Australia atau New Zealand ke, harus sekarang ni kat peta dunia hanya nama aku. Err korang imagine ke semua tu nama-nama aku, bukan US, Australia atau New Zealand? huhuhu.


Wednesday, August 06, 2008


N : Krono J-6




Bila aku upload persoalan yang ini, bermakna aku dah skip satu lagi "persoalan standard" yang bermain diminda aku. Aku tak berapa pasti mengapa aku diawalnya tangguh untuk letakkan yang itu..Krono J-5 tu la.. yang akhirnya aku tak jadi letak.. dan ntah camna kisah dibawah ni pula yang muncul kat blog nih.

Pernah tak berlaku kat orang lain atau aku sahaja yang mengalaminya? Untuk menyedapkan hati, aku berfikiran, orang lain juga mengalami apa yang aku alami. Mungkin tak terfikir secara lebih mendalam, itu je bezanya. Pernah tak terfikir tentang seseorang dengan tiba-tiba? Ini bukan dengan orang yang kerap kita jumpa atau berkenaan dengan orang yang kita suka, minat atau apa saja yang buat kita asyik teringat kat orang tu je. Bukan kes ni. Kalau yang macam tu, orang dilamun cinta lebih kronik ingatnya pada seseorang.

Kisahnya lebih kepada hanya tiba-tiba, seseorang yang pernah kita kenal bermain diminda kita tanpa diminta, tanpa dipaksa, tanpa kita terlihat sesuatu yang berkait dengan orang tu sebelumnya. Maksudnya, kalau kita tertengok gambar atau objek yang berkaitan, mungkin minda kita akan terimbas pasal orang tu. Mungkin saja kalau kita lalu di tempat kita pernah belajar dulu, senarai kawan-kawan yang kita kenal waktu itu terimbas di minda. Standard lah kan. Tapi yang bermain diminda aku nih, tidak melibatkan apa-apa objek yang boleh membuatkan aku teringat kat orang tu atau orang ni secara langsung. Hanya dengan tiba-tiba je muncul. Contohnya macam, tengah pandu kereta, nah..tiba-tiba wajah orang ni datang ke minda, padahal aku tak terfikir pun yang aku akan fikir pasal orang tu. Bila dah muncul tu, tergerak ke arah persoalan, apsal aku terfikir pasal orang ni ek? Dia kat mana sekarang ni? Wujud lagi ke dia kat negara ni? Wehhh, tak semua orang yang muncul kat benak aku secara tiba-tiba tu, aku tertanya sampai macam tu. Dan dalam hal ni juga boleh dikaitkan dengan Krono J-4, kan? Cuma rasa pelik sebab ada antaranya aku kenal suatu masa dulu tu, hanya kenal gitu-gitu je, tak rapat mana pun. Dan yang tak logiknya, yang kenal gitu-gitu je tu melangkau puluhan tahun yang lalu. Ada tu zaman sekolah rendah, malah tadika hehehe. Ni dah tahap standard yang pelik sebab aku boleh ingat mereka lagi. Mereka ingat aku? Aku tau, jawapan "Tidak" adalah besar kebarangkaliannya. Standard la jawapan macam tu.

Orang dulu-dulu cakap, kalau kita tiba-tiba teringat seseorang tu, bermakna orang tu juga sedang ingat kat kita. Ye ke nih? Betul ke? Tapi camna plak kalau orang yang aku teringat tiba-tiba tu dah tak de lagi? :(

Thursday, July 17, 2008


N : Krono J-4




Tak terfikir agaknya aku sebelum nih. Orang lain lak camna ek? Pernah ke menjadi persoalan orang lain, bahwa kawan-kawan yang kita kenal sewaktu sekolah dulu atau rakan yang duduk di sebelah kita waktu tu, sesungguhnya ditakdirkan masa itu ajelah kita berjumpa dengan mereka. Selepas tu entah ke mana. Maknanya sekarang ni, kita sendiri tak tau di mana mereka. Terfikirkah bahwa kita takkan berjumpa dengan mereka lagi hingga akhir hayat kita. Jangan kata zaman sekolah, kawan yang kita baru kenal beberapa tahun lepas juga belum tentu kita berkesempatan untuk bertemu lagi pada masa ini atau akan datang atau mungkin...itulah sahaja waktu kita bersama.

Itu bab yang kita tak tau di mana mereka berada kini. Bagaimana pula yang kita tahu mereka berada di sesuatu tempat masa ini tetapi terfikir ke yang kita belum tentu dapat jumpa mereka hari ini, esok atau tahun-tahun mendatang?

Setiap tahun pastinya kita mencipta satu atau lebih perhubungan. Semakin usia meningkat, semakin ramai pula kenalan yang ada, tapi terkejarkah kita untuk menghubungi mereka kesemuanya. Atau adakah hubungan yang terbaru (latest) sahaja yang kita pegang, yang lainnya dibiar sepi sebegitu sahaja? Itu pun kalau masih berhubungan, kalau tak? Ermm, kalau tak, jadi terkumpulanlah kita dalam takdir, yang kita ni tidak akan bertemu mereka lagi hingga akhir hayat.

Dulu, zaman tanpa teknologi canggih, hanya surat penghubung ikatan. Itu pun kalau rajin berbalas surat. Tapi ada ketika, kita berpindah dan mereka juga bertukar lokasi. Hilang camtu je. Tapi masa tu berapa ramai yang kite kenal, kita rajin berbalas surat? Waktu itu, tiada lain, ianya hanyalah memberikan maklumat kepada kita bahwa mereka masih wujud, tapi untuk berjumpa kembali belum tentu lagi. Kini, di zaman teknologi, selain penggunaan telefon (panggilan atau melalui sms) dan kegunaan internet yang berleluasa, hanya aplikasi tertentu seperti email contohnya, yang menjadi penghubungnya.

Persoalannya, walaupun kita menerima email atau sms atau panggilan telefon dari mereka, terfikirkah bahwa untuk bersua diantara kita secara berdepan dengan mereka takdirnya mungkin tiada? Nampaknya aku masih tersangkut seperti Krono J-3, menjalani kehidupan standard macam orang lain juga.



Wednesday, July 16, 2008


N : Krono J-3




Masih terbelengu kat situ rupanya. Hari tu aku fikir memang tak nak jadi macam orang lain. Kononnya kehidupan normal tapi bila diteliti, boleh dikategori sebagai piawai je. Macam orang kita bila bercakap selit-selit bahasa English kata standard. Bukan Sirim jamin pun.

Kehidupan kita ni sungguh standard. Aku membesar, pergi belajar kemudian kerja. Kerja untuk meneruskan kehidupan? Standard kan? Kalau habis belajar tapi tak kerja, camna agaknya? Tapi betul ke belajar tu ada hadnya? Jadi, kenapa kata 'habis' belajar? Macam mana kalau sejak dulu belajar sampai sekarang belajar dan tak kerja-kerja? Pastinya kehidupan aku tak standard macam orang lain. Maka tak normal la agaknya, kan. Atau sejak kecil dulu dah kerja, sampai sekarang kerja dan tak pernah belajar, pun aku pasti memang lari dari landasan standard atau terlari dari kehidupan normal. Persoalannya, macam mana nak elakkan apa yang orang lain buat? Tapi, ada berani ke?
Belajar, bekerja sampai masa..pencen, kemudian dapat gelaran veteran atau orang tua. Standard aje kan? Ni aku fikir secara standard kalau cecah umor 60 tahun la kan. Kalau tak sampai tu pun tapi aku percaya ramai yang cuba (atau tanpa disedari telah ikut landasan standard ni). Kehidupan kita, kita ikut apa orang dulu-dulu buat iaitu membesar dengan belajar, kemudian bekerja. Aku takde la nak letak detail pasal makan minum,bersosial, beribadat dan segalanya. Kerana tu semua masih dalam kategori standard, cuma ada orang lebihkan kat sini kurang kat situ, atau cuba seimbang segalanya atau apa-apa je la.

Tapi... (ayat standard gak nih).. aku bukan nak cakap pasal standard belajar dan bekerja sebab jawapan yang aku dapat, aku tak leh elakkan pun. Nak teruskan kehidupan, itu je caranya. Dan itu jugalah diserapkan kepada anak-anak atau generasi akan datang. Kalau dicuba lari dari standard nih, harus generasi akan datang tak leh survive, tak tau camna nak teruskan kehidupan atau jadi porak peranda. Makanya, panduan yang kita ada, ialah pengalaman kita sendiri. Kalau nak generasi kita mengharungi kehidupan lebih baik, tentunya kita cuba tentukannya dari sekarang. Pandai-pandailah buat aturan hidup sendiri, asalkan tak lari dari standard yang selama ni kita tak terpandang atau terfikir pun bahwa kita sebenarnya ikut je arus yang ada.
Perkara ni muncul pun bila aku fikir sampai bila aku perlu keje dan sampai bila agaknya masa tak perlu keje. Mungkin masa tu sebab tiada kemampuan kudrat atau selainnya. Oh standard nya hidup aku nih TETAPI, bukan perkara ni yang aku nak rungkaikan pun. Tu le, banyak sangat jawapan dari soalan, huh!

Wednesday, July 09, 2008


N : Krono J-2




Bila aku dah berada di alam realiti ni, ramai gak la yang tanya, apa dah berlaku? Aku pun tak tau nak jawab apa, sekadar membalas persoalan diaju dengan jawapan yang tak berapa memuaskan hati yang bertanya. Aku merasakan camtu, tapi kalau mereka puas hati, tu dah jadi tanda tanya balik buat aku. Itu pun yang terjumpa ("ter" bukan "ber") dengan mereka dan perasan ada sesuatu perubahan secara lahiriah. Ala peter petrelli di musim kedua, tapi dah panjang sket. Kalau terjumpa awal-awal dulu, lain citer. Tapi memang tak ramai pun terserempak masa tu, jadi tak perlulah nak komen lebih-lebih.

Pada aku, nak cerita panjang lebar pun tak guna. Mereka angguk pun entah faham atau sekadar reaksi seorang normal? Yang nak bercerita pun tak tau agaknya macam mana nak ringkaskan agar senang untuk faham. Jadi memang tak de jalan pintas la kut. Akhirnya sepi gitu je. Elok dibiar camtu je agaknya. Jawapan terkumpul tu bila nak rungkaikan?

Tuesday, July 08, 2008


N : Krono J-1




Bagaikan tersentak dari lamunan. Jauh benar barangkali fikiran aku melayang entah ke mana. Sehingga yang pasti untuk menyedarkan aku kembali ke alam realiti ini, mengambil masa terlalu lama. Pelbagai destinasi aku singgah, mencari jawapan tentang segala persoalan. Aku buang terlalu banyak masa disetiap destinasi yang ku singgah kerana jawapan yang aku terima tidak mudah untuk aku fahami. Berbisik dihati agar aku kumpulkan saja segala jawapan terlebih dahulu, dibawa pulang dan fahamkan segalanya nanti, agar aku tidak mensia-siakan masa di setiap destinasi itu.

Bila aku tersedar dan kini di alam realiti, aku melihat terlalu banyak jawapan yang tidak aku fahami telah ku kumpulkan. Kini bagaikan cuba menyelesaikan silang kata. Aku harus padankan jawapan ini dengan persoalan itu. Bila dihitung, jawapan yang ada lebih dari persoalan yg diaju. Maka, aku harus berhati-hati dengan persoalan yang ada. Agar tidak silap pilihan, agar tidak silap jawapan pastinya. Adakah ini juga bakal mengambil masa aku? Apakah aku akan dapat pastikan tidak dilamun di alam realiti ini?