Friday, April 22, 2011

N : Krono J-24




Sedang aku nak padam satu per satu mesej dalam inbox di handphone aku... sebelum tu.. mesej dalam inbox aku ni jarang aku padam, walaupun hanya terima huruf "k" (yg bermaksud ok) saja pun.. apa tah lagi dengan iklan dari operator dan segala macam. Tanpa sedar, dah cecah seribu lebih mesej tersimpan sejak tahun dulu. Bila ada masa terluang.. owh secara standardnya, banyak juga masa terluang, cuma masa nak memadamkan mesej tu, aku selalu aje takde masa. Ikut nak mudah, boleh aje "select all dan remove" tapi banyak juga mesej-mesej penting berkaitan no akaun, no handphone atau email orang lain yang aku malas nak salin kat mana-mana. Jadinya, sebelum aku padam tu, kenalah tengok-tengok juga mana yang perlu disimpan.

Aku terima call dari seseorang ni sangat dengan tiba-tiba. Maksud aku, iya lah, kalau dah lama tak berhubung, tetiba aje dapat call.. memang la rasa agak pelik pada mulanya. Terpandang namanya di skrin handphone.. terus menerjah persoalan, apa hal dia call aku time ni, memandangkan setahun dua sunyi sepi. Aku masih ingat, waktu tu tengahhari Sabtu. Lebih kurang jam 2 lebih. Tak berhubung selama tu, tidak bermakna aku dah lupakan dia.. tidak pernah sekali pun. Masa aku pulang ke kampung dan ada set masa untuk lepak-lepak dengan kawan-kawan sekolah lama, memang aku harapkan dia juga ada bersama, tapi aku faham, dengan keadaan dia yang kurang sihat tu. Kalau dulu, dia memang akan hadir. Biasanya juga kalau dia datang ke KL, pasti dia akan hubungi aku. Tahun-tahun terdahulu tu, memang kerap juga dia datang ke KL. Kadang sebab sukan, kadang sebab kerja part time yang dia buat.. biasanya berkaitan jual beli kereta...tapi ada juga sebab-sebab lain, macam nak jumpa kawan-kawan dia yang aku tak kenal. Ni kawan-kawan yang dia kenal selepas tamat persekolahan. Seingat aku, dia memang seorang yang aktif bersukan, juga menjadi jurulatih untuk sukan yang dia sangat minat itu. Tapi, seperti aku cakap tadi, selalunya dia akan hubungi aku kalau dia nak turun ke KL. Jarang sangat dia lupakan aku. Dan aktiviti biasa yang kita orang buat, hanya keluar makan atau minum dan berborak kisah-kisah zaman sekolah, dan sekali sekala terselit kisah-kisah lain. Kenapa dia lebih suka hubungi aku berbanding kawan-kawan lain yang juga tinggal sekitar KL ni? Adakah sebab aku pernah sekelas dengannya atau kedudukkan rumah yang aku bermastautin itu tak jauh dari hotel yang dia menginap, atau keduanya.. atau ada juga alasan lain, yang aku sendiri tak boleh nak fikir masa menaip nih.

Namun, sejak dia sakit, nada berbicara dengannya tak seceria dulu. "Apa nak buat, hanya "sabar" aje la yang ada pada aku".. itulah ungkapan yang kerap diluahkan, bukan sekadar pada aku tapi juga pada kawan-kawan aku yang lain. Aku dapat merasakan, memang sukar untuk menerima kenyataan itu, apatah lagi dia seorang yang sangat aktif sukan sejak zaman sekolah sehinggalah telah bekerja. Malah salah satu part time yang dia buat.. ialah menjadi jurulatih dalam sukan tersebut. Sejak aku tahu dia tidak sihat dan secergas dulu, kami tidak berjumpa dan lepak-lepak macam dulu. Sebenarnya, satu malam itu aku pernah terserempak dengan dia dan kawan-kawannya masa aku nak pergi minum di sebuah restoran di jalan Ampang. Katanya, dia datang sekejap aje, dan tak berkesempatan nak hubungi aku. Terpancar serba salah pada reaksinya, tapi pada aku ok aje. Aku faham, terkadang masa pulang ke kampung, aku juga tidak berkesempatan nak hubungi dia sebab pakcik makcik saudara yang ajak singgah rumah, sampai langsung takde masa nak jumpa kawan-kawan lama. Ala-ala wakil rakyat pulak dah. Sibuk benar aku waktu tu. Dan paling ketara aku jarang dapat berjumpa dengan dia pada waktu aku pulang ke kampung terutama cuti sekolah, adalah disebabkan dia juga pulang ke kampung halamannya. Dia di antara pelajar sekolah yang bukan berasal dari negeri tersebut. Tapi aku kagum, sebab bila dah bekerja, dia mencurahkan bakti di negeri tersebut, sedangkan aku dan kawan-kawan menjadi perantau di negeri orang.

Seingat aku, kali terakhir aku berjumpa dengan dia adalah 4 atau 5 tahun yang lalu. Waktu itu, aku memang sangat-sangat nak jumpa dia, sementelah mendengar dari kawan-kawan tentang perubahan fizikal dirinya yang ketara kerana sakit dia itu. Beratus kilometer aku memandu, dan berkesempatan juga berjumpa dengannya suatu petang. Janjinya awal sedikit tapi dia ada rawatan berjadual yang dia perlu penuhi dulu. Tak mengapa, asalkan dapat pekena teh tarik di tepi warung dan berbual seperti dulu-dulu. Dalam pada bercerita, dia tunjuk lengannya, yang penuh dengan bekas jarum. Begitulah kehidupan seorang yang menerima rawatan hemodialisis. Mesti ikut jadual. Sejak dari tarikh itu, aku tidak lagi berkesempatan untuk berjumpa dengannya. Ada aktiviti dengan kawan-kawan sekolah lama, aku pula tak pulang ke kampung dan bila aku pulang dan lepak-lepak dengan kawan-kawan, dia pula pulang ke kampungnya.

Jadi, bila tahun lepas, dengan tiba-tiba aku terima panggilan telefon dari dia, memang lah agak tidak disangka. Masa tu aku kat kedai basikal, tengah konsentrasi tengok tokey kedai duk "mengerjakan" basikal aku tu. Aku ingatkan dia ada datang KL dan nak jumpa aku, tapi rupanya tidak. Dia baru aje lepas abis waktu kerja. Kami masih berhubung tapi kebanyakkannya melalui akaun facebook sejak akhir 2009. Sebelum pada itu, kami sering berhubung melalui email group sahaja. Aku ada tanya dia, apa mimpi tetiba telefon aku? Dah kaya kut ni? hehehe.. mungkin aku bercakap tepi jalan raya yang agak tidak jelas pendengaran di sana.. maka dia jawab, kenapa, ko ingat aku dah nak mati ke?.. Eh, mana ada aku cakap macam tu.. aku tanya.. ko dah kaya ke?.. kut la nak share dengan aku.. hahaha .. kami gelak dan terus gelak dengan cerita yang seterusnya dan pelbagai. Maklumlah dah lama tidak berbicara. Ada juga topik yang serius.. sedikit keluhan dari dia, bagaikan nasihat.. yang aku sendiri terpaksa menjawab, bahwa aku tak masuk campur kerana aku bukan berasal dari situ walaupun isu itu kerap dipaparkan di dada akhbar, tapi aku sekadar datang dan menumpang sementara aje. Kini, aku dah tak duk situ lagi. Kami berbicara tentang berapa lama tidak bertemu secara berdepan, dan mengharapkan reunion di hari raya ke tiga yang bakal diadakan tidak lama lagi itu, kami akan berjumpa. Memang tidak sabar rasanya nak bertemu kawan-kawan lama yang mencari rezeki di serata ceruk rantau.. yang dah lama tidak berjumpa sejak meninggalkan zaman persekolahan.

Matlamat utama dia call, sekadar nak bertanya khabar kawan-kawan lama. Aku rasa agak terharu. Keesokkannya, di wall fb dia, aku ucapkan terimakasih kerana sudi menelefon aku sekadar untuk bertanya khabar. Owh, aku baru teringat.. dalam perbualan di telefon dengan kawan aku tu, dia tak pasti lagi samada dia akan ke reunion tersebut sebab tahun 2010 tu, adalah giliran dia menyambut hari raya di kampung halaman. Ada sedikit harapan, bila dia cakap insyaallah, dia akan cuba datang...

*sunyi..
*sunyi*

Berbalik kepada perihal memadam mesej di telefon bimbit tu, sambil duk padam satu per satu.. sampai la mesej dia pada 10 Ogos.. dua kali mesej yang sama dia hantar kat aku. Mungkin sebab aku lewat balas mesej dia, dia anggap mesej tu tak sampai, maka dia mesej sekali lagi. Atau juga, dia terselit nama aku dua kali sewaktu nak send mesej ke kawan-kawan yang lain juga. Apa-apa pun, kedua mesej tu masih tersimpan dalam handphone aku. Antara ayat tercatat yang tidak pernah aku terima sebelum ini ialah ".. hidup ini menjadi indah jika masih ada kemaafan... "

*sunyi lagi...

Hari yang dinanti tiba jua.. raya ketiga, reunion sekolah setelah sekian lama tak berjumpa. Ada yang berubah rupa dan fizikal. Ada setengahnya langsung tak ingat nama. Kegembiraan jelas terbayang di muka mereka yang menghadirkan diri. Masing-masing bertukar kad bisnes. Sebelum acara bermula, kesemuanya mengambil tempat.. duduk bersila sambil ditangan masing-masing memegang senaskah yasin. Bacaan dimulakan.. buat seorang sahabat yang telah pergi buat selamanya dalam bulan Ramadhan tahun lepas. Kata-kata untuk berjumpa di reunion tersebut masih segar melekat di minda. Di majlis tersebut, sempat kami bercerita, rupanya dia ada menghubungi ramai kawan-kawan yang lain juga dan yang mana ada disekitar, dia ada pergi berjumpa. Semuanya berlaku dalam sebulan sebelum dia pergi buat selamanya. Al-fatihah buat sahabat, semoga rohmu dicucuri rahmatNya.

No comments: