Thursday, August 24, 2006

N : Kenangan Terindah




Minggu lalu aku berjumpa dengan seorang rakan sekolah lama. Menghitung kalendar yang ada, aku pasti terlalu lama aku tidak bersua dengannya. Hanya kerna seorang rakan lain yang rajin contact sana sini membuatkan hubungan yang terputus sekian lama, bersua kembali. Sewaktu persekolahan, dia kerap jua datang ke kampungku yang terletak bersebelahan dengan kampung dia. Waktu itu aku tinggal bersama atuk dan nenek sehinggalah tiba waktu aku harus tinggal diasrama kerana kebodohanku yang mengisi borang nak masuk sekolah berasrama. Terpaksa tukar sekolah. Di negeri lain pula.
Dari cerita dia, aku mendapat khabar terkini lagi. Berkaitan kawan aku (yang aku ceritakan sebelum ini) yang menghidapi kidney failure kedua belah. Kini, apa yang aku dengar ialah hatinya tidak lagi berfungsi. Bermula awal bulan ini. Mata putih jua telah bertukar kuning.

Terimbas kembali, kali terakhir aku bertemu dengannya ialah awal Jun yang lalu. Waktu itu dia baru pulang dari membuat dialisis. Aku pula kerana konvoi orang kahwin untuk balik ke KL. Aku merentas negeri hanya untuk pastikan bertemu dengannya. Di awal tahun lagi aku telah mendapat berita tentang dia, namun, aku tak tau nak cakap apa andai aku sekadar menelefon dia. Sungguh aku terlalu lemah untuk hadapi perkara sebegini. Maka itu, aku mohon doa agar dia dipanjangkan umur agar sempat bertemu dengannya.

Sewaktu bertemu dengan dia, banyak kata-kata nasihat yang aku terima. Kelihatan dia cuba membuat bagai tiada apa yang berlaku. Seperti orang sihat lainnya. Sebagaimana pada mula-mula dia dikhabarkan berita ini oleh doktor yang merawatnya. Rahsia yang dia cuba simpan akhirnya terbongkar jua, kerana ada beberapa rakan sekolah yang lain juga berjawatan doktor, malah ada yang pakar dalam bidang tertentu di hospital. Aku tau dia sedih, kerana dalam perbualan kami berdua, banyak perkara silam diungkitkan untuk membuat kami gelak sama-sama. Aku lebih banyak mampu tersenyum. Sedang rancak berbual kisah lama, akhirnya tersentuh satu perkara yang tiada siapa tahu selain aku. Dia cakap, walaupun kawan baiknya yang lain banyak tahu tentang dia, tapi aku lebih tahu kisah dia yang tak pernah diberitahu kepada sahabat baiknya yang lain. Aku sekadar "ohh". Tak sangka perkara tersebut masih menjadi satu rahsia. Dan aku berjanji akan mengekalkan rahsia itu selamanya. Insyaallah.

Masa yang ada terlalu singkat. Rasa sekejap sangat. Dia harus pulang. Aku pun takde nak halang dia. Apatah lagi melihat dia memandu seorang diri tanpa ditemani sesiapa. Lagi pula perjalanan aku ke KL memerlukan tak kurang dari 3 jam lagi. Sewaktu bersalam untuk berpisah, hati aku rasa sebak, aku bagai tak mampu nak ucapkan selamat tinggal. Aku cuba buat macam biasa. Akhirnya air mata mengalir jua, begitu juga dia. Aku sedih. Tapi aku tau dia lagi sedih. Namun, aku harap dia masih ingat apa yang aku bagitau dia masa tu, bahwasanya aku tak punya kekuatan untuk menelefon dia, untuk berbual melalui telefon. Sebab aku tau aku akan kelu. Dan aku juga tau kalau melalui telefon, dia akan membuat bagai tiada apa yang perlu dirunsingkan. Setiap rakan yang melawat dia, aku hanya mampu kirimkan salam, agar dia tau aku tidak lupakan dia. Tidak pernah.
Kisah terkini yang aku dapat dari rakan lain yang aku jumpa minggu lalu, membuatkan aku gelisah. Jadual perjalanan yang aku dah rancang adalah hujung bulan ini sempena cuti Merdeka. Aku hanya mampu berdoa agar dapat bertemu dengannya lagi. Insyaallah.




No comments: